KOTA KINABALU: Tiga mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengharumkan nama universiti dan negeri apabila meraih empat pengiktirafan utama dalam program MyNext Campus Ambassador 2025/2026 menerusi MyNext National Pulse Challenge (NPC) anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Program itu melibatkan penyertaan 76 duta mahasiswa daripada 25 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan TVET MARA di seluruh negara, dengan UMS diwakili oleh tiga mahasiswa yang mencatatkan pencapaian membanggakan di peringkat kebangsaan.
Ketua Jabatan Graduate and Emerging Talent (GET) TalentCorp, Ardi Gunsuh berkata, kejayaan tersebut mencerminkan aspirasi untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, bersedia menghadapi keperluan industri serta memiliki pendedahan kerjaya yang menyeluruh.
Menurutnya, program MyNext Campus Ambassador merupakan inisiatif nasional TalentCorp bagi memperkasa kebolehpasaran graduan selain memperluas akses kepada peluang kerjaya dan memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan industri.
“Ia berfungsi sebagai platform kepada mahasiswa untuk membangunkan kepimpinan, memahami ekosistem kerjaya serta memperluas akses kepada peluang latihan industri berstruktur.
“Inisiatif ini juga selari dengan usaha memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan industri agar pembangunan bakat negara lebih responsif terhadap keperluan ekonomi masa hadapan,” katanya.
Dalam Fasa 1 pertandingan, pasukan UMS berjaya merekodkan 77 pendaftaran mahasiswa bagi MyNext End-Year Registration Challenge 2025/2026, sekali gus meraih tempat ketiga di peringkat kebangsaan.
Pencapaian tersebut diteruskan dalam MyNext NPC Fasa 4 apabila pasukan UMS bersama TVET MARA Bintulu yang mewakili Borneo Region mencatatkan 333 pendaftaran, sekali gus muncul naib johan keseluruhan menerusi anugerah Best Region Award.
Selain kejayaan berpasukan, wakil UMS turut meraih pengiktirafan individu apabila Nora Abiyana Gabra, pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL) menerima Best Mentor Award.
Seorang lagi wakil UMS, Mohd Asran Lataga, pelajar Program Sains Data, Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), turut mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara Ambassador All-Stars Award.
Menurut Asran, kejayaan tersebut membuktikan bahawa mahasiswa Sabah mampu bersaing serta memimpin di peringkat nasional dalam agenda pembangunan bakat dan kebolehpasaran graduan.
“MyNext NPC bukan sekadar pertandingan, tetapi turut menjadi platform strategik untuk mengetengahkan kepentingan memperluas peluang latihan industri berbayar dan berstruktur, khususnya di Sabah,” katanya.
Turut hadir pada program tersebut ialah Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Talent Corporation Malaysia Berhad, Nazrul Aziz.






