KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan membantah permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025 berhubung semakan dan penentuan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan dari negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang dikenali sebagai “Tahun-Tahun Yang Hilang.”
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh berkata, Jabatan Peguam Besar Negeri mengesahkan bahawa Sabah akan mengambil pendirian tegas terhadap permohonan penangguhan yang difailkan oleh pihak Peguam Negara Persekutuan.
Menurutnya, Perintah Mahkamah Tinggi itu mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengadakan semakan bersama bagi melaksanakan pemberian khas 40 peratus selaras dengan kerangka Perlembagaan, serta mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari, iaitu selewat-lewatnya pada 15 April 2026.
“Sejak keputusan tersebut dikeluarkan, Kerajaan Negeri Sabah kekal komited sepenuhnya untuk mematuhi isi dan maksud keputusan Mahkamah Tinggi.
“Kerajaan Negeri juga secara konsisten terlibat dalam proses libat urus bersama pihak berkuasa Persekutuan termasuk mengadakan beberapa mesyuarat dan perbincangan teknikal bagi bertukar maklumat, mengesahkan data serta mempertimbangkan kaedah terbaik menentukan jumlah amaun Pemberian Khas 40 peratus kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Brenndon berkata, semua sesi perbincangan itu dilaksanakan secara konstruktif, telus dan dengan niat baik bagi mencapai penyelesaian yang adil serta berprinsip dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah.
Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah tidak pernah melengah-lengahkan atau gagal memberi kerjasama dalam melaksanakan Perintah Mahkamah Tinggi tersebut.
“Sebaliknya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah-langkah aktif dan berterusan bagi memastikan proses yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dapat dilaksanakan secara teratur dan produktif,” katanya.
Menurut beliau, Sabah kekal bersedia untuk meneruskan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan secara konstruktif bagi mencapai penyelesaian bersama selaras dengan peruntukan Perlembagaan berkaitan pemberian khas tersebut.
Dalam masa sama, Brenndon menjelaskan bahawa Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan turut menyediakan mekanisme jelas sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.
“Peruntukan ini membolehkan pelantikan seorang penilai bebas dan syor yang dikemukakan olehnya adalah mengikat kepada kedua-dua kerajaan serta hendaklah dilaksanakan seolah-olah ia merupakan persetujuan bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kedua-dua pihak wajar terus memberi tumpuan kepada rundingan yang sedang berjalan bagi memenuhi terma Perintah Mahkamah Tinggi serta mencapai penyelesaian yang adil dalam tempoh masa yang ditetapkan.
“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah akan sentiasa mengambil langkah undang-undang yang sewajarnya bagi melindungi hak dan kepentingan Negeri Sabah, di samping menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, perlembagaan serta semangat kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya.






