KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan organisasi yang sehaluan bagi memperluaskan pelaksanaan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag berkata, usaha itu penting bagi memperkasa program kebajikan dan kemasyarakatan yang dilaksanakan oleh pertubuhan berkenaan.
Beliau turut menyeru semua ahli agar menggandakan usaha serta meluangkan masa dan komitmen untuk menyertai program-program anjuran MUTIARA GRS.
Berucap ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MUTIARA GRS Ke-5 di Rumah MUTIARA GRS, di sini pada Sabtu, Juliah menekankan kepentingan penyertaan aktif dalam kalangan ahli bagi memastikan setiap program dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Bagi memperkasa lagi program kebajikan dan kemasyarakatan kita pada tahun ini, saya menyeru semua ahli agar lebih proaktif dan terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti, khususnya di kawasan masing-masing.
“Saya berharap setiap ahli terus berganding bahu bagi memastikan kejayaan serta mencapai matlamat murni penubuhan MUTIARA GRS,” katanya.
Menurutnya, ahli-ahli juga digalakkan menyumbang idea yang memfokuskan kepada pemerkasaan wanita, program kebajikan, pembangunan kemahiran perniagaan serta bidang berkaitan.
“Kita boleh merancang program pembangunan diri seperti latihan etika sosial, bengkel kesihatan, aktiviti sukan dan rekreasi, literasi digital serta lawatan pendidikan.
“Selain mengeratkan hubungan sesama kita, inisiatif-inisiatif ini juga memberi peluang untuk terus belajar, membina rangkaian serta maju bersama,” katanya.
Beliau berharap semua inisiatif yang dirancang bagi tahun ini dapat dilaksanakan mengikut jadual demi memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kejayaan memerlukan perpaduan dan sokongan bersama. Tanpa persefahaman serta usaha gigih daripada semua pihak, sukar bagi persatuan ini berfungsi sebagai organisasi yang mampu membawa perubahan bermakna dan kemakmuran kepada masyarakat,” katanya.






