RM200,000 untuk Pembangunan Tadika Harmoni St Michael Penampang

RM200,000 untuk Pembangunan Tadika Harmoni St Michael Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi menyokong pembinaan kompleks baharu Tadika Harmoni di Paroki St Michael, Penampang.

Sumbangan tersebut disampaikan menerusi peruntukan Sentuhan Kasih Menteri serta peruntukan beliau sebagai Ahli Parlimen Penampang kepada Paderi Paroki St Michael, Fr Wilfred Atin dalam satu kunjungan ringkas di pejabat paroki berkenaan, hari ini.

Ewon berkata, sumbangan itu merupakan komitmen yang telah dinyatakan sebelum ini kepada Jawatankuasa Pembangunan Tadika Harmoni bagi membantu usaha pembinaan kompleks prasekolah tersebut.

“Semasa kunjungan Jawatankuasa Pembangunan Tadika Harmoni kepada saya sebelum ini, saya telah menyatakan komitmen untuk menyalurkan sumbangan dana daripada peruntukan saya.

“Justeru, hari ini saya menyampaikan sumbangan sebanyak RM200,000 daripada peruntukan saya sebagai Menteri dan Ahli Parlimen kepada jawatankuasa tersebut sebagaimana komitmen yang telah diberikan,” katanya.

Terdahulu, pada 20 Disember tahun lalu, Ewon turut menyertai lawatan tinjauan ke tapak pembinaan Tadika Harmoni St Michael Penampang bagi melihat perkembangan kerja-kerja projek berkenaan.

Projek pembinaan kompleks prasekolah itu dianggarkan menelan kos kira-kira RM9 juta dan sedang dilaksanakan hasil pungutan dana awam, namun masih memerlukan sokongan kewangan bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan serta disiapkan sepenuhnya.

Apabila siap kelak, bangunan yang direka dengan konsep landskap moden itu dijangka mampu menampung sehingga 500 murid.

Tadika Harmoni merupakan salah satu daripada dua tadika yang beroperasi di bawah Paroki St Michael, Penampang.