Gagasan Rakyat Tumpu Struktur Berasaskan Parlimen, Kurangkan Bahagian Kepada 26 – Nizam

Gagasan Rakyat Tumpu Struktur Berasaskan Parlimen, Kurangkan Bahagian Kepada 26 – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) merancang melaksanakan penstrukturan semula organisasinya daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian termasuk Labuan, dalam usaha memperkemaskan serta mengukuhkan parti berkenaan.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, langkah itu telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi parti bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan.

“Kita bersetuju untuk menyusun semula struktur PGRS bagi memperkemaskan dan mengukuhkan parti ini sebagai tunjang kepada kerajaan perpaduan di Sabah.

“Mudah-mudahan penstrukturan semula ini akan memberi banyak kebaikan dalam perjuangan Gagasan Rakyat untuk membela rakyat,” katanya kepada pemberita, semalam.

Nizam, yang juga Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, berkata struktur baharu itu dijangka berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta satu di Labuan.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan hala tuju baharu parti dalam memperkukuh operasi di semua peringkat, di samping memudahkan pelaksanaan aktiviti parti secara lebih tersusun.

“Apabila parti berjalan lancar, ia akan menjadi pelengkap kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini.

“Hubungan antara negeri dan Persekutuan juga akan terus dipelihara demi kepentingan Sabah dan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PGRS akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan, termasuk pindaan perlembagaan parti.

Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata PGRS akan terus mempertahankan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden parti.

Selain itu, Nizam berkata Biro Penerangan PGRS akan memperkukuh jentera komunikasi termasuk merancang penganjuran kursus kecerdasan buatan (AI) kepada jentera penerangan di seluruh Sabah.

Katanya, pertandingan pidato juga akan dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan ahli parti untuk menyampaikan hala tuju kerajaan dengan lebih berkesan.