Kluster Jalan Coastal Berpunca Daripada Syarikat Konsesi Parkir Di Kota Kinabalu

Kluster Jalan Coastal Berpunca Daripada Syarikat Konsesi Parkir Di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Satu kluster baharu dilaporkan di Sabah, namun jumlah kes baharu positif COVID-19 menunjukkan penurunan sebanyak 51 kes daripada 254 kes pada Rabu kepada 203 kes kelmarin (Khamis).

‘Kluster Jalan Coastal’ Sembulan Kota Kinabalu melibatkan kakitangan syarikat konsesi parkir, Secure Parking dekat Riverson, kata jurucakap COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

“Kluster indeks merupakan seorang juruteknik lelaki, 38 tahun, di syarikat terbabit yang telah bergejala sejak 25 Mei sebelum disahkan positif pada 27 Mei oleh Klinik Kesihatan Luyang…

“Susulan kes itu, hasil saringan kontak mendapati enam (6) lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif klusteri ini sebanyak tujuh (7) kes, termasuk satu (1) kes di Papar dan enam (6) kes di Kota Kinabalu,” katanya.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 03 Jun 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Berdasarkan siasatan awal, penularan jangkitan COVID-19 berkemungkinan merebak di kawasan tempat kerja. Pasukan kesihatan kini giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak dan punca jangkitan.

Masidi berkata daripada 203 kes jangkitan baharu hari ini, 121 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, 21 kes adalah daripada saringan kluster, 43 kes adalah daripada saringan bergejala, enam (6) kes daripada saringan bersasar dan 12 kes adalah daripada lain-lain kes.

“Dua-belas (12) daerah di Negeri Sabah mencatatkan penurunan kes. Walau bagaimanapun, terdapat sembilan (9) daerah yang mencatatkan peningkatan kes hari ini pada julat satu (1) angka,” tambah beliau.

Selain daripada itu, tujuh (7) kes kematian direkodkan hari ini iaitu dua (2) kes di daerah Sandakan, satu (1) kes di Kota Kinabalu, satu (1) kes di Lahad Datu, satu (1) kes di Kunak, satu (1) kes di Semporna dan satu (1) kes lagi di Tawau.

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga diperlaksanakan di Kampung Sugud, Penampang dari 5 hingga 18 Jun berikutan peningkatan kes yang amat ketara dalam masa yang singkat.

“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan telah melakukan 29 ujian saringan dan 12 daripadanya disahkan positif COVID-19,” Masidi berkata lagi.