LIMBANG, SARAWAK – Seorang lelaki meninggal dunia di dalam kereta di pusat bandar ini pada tengah hari kelmarin, Selasa.
Menurut sumber, Lee Sang Fook, 60, yang disangka sedang tidur di dalam kereta rupa-rupanya tidak lagi bernyawa setelah disedari sendiri oleh anak saudaranya yang meletak kereta bersebelahan pada kira-kira pukul 12:30 tengah hari.
Menurut Ketua Balai Polis Limbang Inspektor Benneth Room, sebaik parkir di sebelah kereta bapa saudaranya, didapati Lee tidak sedarkan diri bersandar di kerusi pemandu kereta itu dengan keadaan cermin tingkap sedikit terbuka.
“Anak saudara mangsa kemudian memaklumkan kepada peniaga di bangunan kedai berhampiran yang kemudiannya memaklumkan polis,” katanya.
Benneth berkata sehari sebelum kejadian itu mangsa pernah dikejarkan menggunakan ambulans ke Bilik Kecemasan Hospital Limbang kerana lemah akibat kurang gula.
“Mangsa juga mempunyai rekod kesihatan berkaitan masalah kencing manis, jantung dan darah tinggi,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.