KIMANIS: Enam tong minyak diesel dan longgokan tayar musnah dalam satu kebakaran di Batu 30, Kimanis, pada petang semalam.
Kebakaran melibatkan enam tong minyak diesel, di mana tiga daripadanya berisi minyak dengan kapasiti maksimum 18,000 liter setiap satu, manakala selebihnya kosong. Selain itu, longgokan tayar berkeluasan kira-kira 100 x 100 kaki turut terbakar sepenuhnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, PPgB Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.20 petang sebelum sepasukan anggota bersama bantuan dari BBP Papar dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua tong utama yang mengandungi 18,000 liter dan 10,000 liter minyak diesel, manakala satu lagi tong yang mengandungi kira-kira 1,000 liter telah terbakar sekitar 70 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, tindakan pantas pasukan bomba turut berjaya mengelakkan kebakaran merebak ke sebuah rumah pekerja serta sebuah pejabat berkeluasan 30 x 20 kaki persegi yang terletak berhampiran lokasi.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan tiga pancutan air daripada sumber air terbuka berhampiran, selain dibantu jentera berat jenis Hitachi milik pihak kilang.
Seramai 16 anggota terlibat dalam operasi tersebut membabitkan jentera CFRT, FRT, EMRS serta kenderaan utiliti.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11 malam sebelum ditamatkan pada jam 8.20 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.






