KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama ribuan jemaah di Masjid Negeri Sabah, hari ini.
Tun Musa yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 7.25 pagi dan disambut oleh Hajiji serta beberapa pemimpin negeri.
Antara yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun;
Seterusnya turut bersama-sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Islam, Datuk Mohd Arifin Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
Solat Sunat Aidilfitri tersebut berlangsung dalam suasana penuh khusyuk dan meriah dengan kehadiran ribuan umat Islam yang bersama-sama menyambut hari kemenangan selepas sebulan berpuasa.






