Dua Peluru Berpandu Iran Gagal Tembus Diego Garcia, Pulau Dikaitkan MH370

Dua Peluru Berpandu Iran Gagal Tembus Diego Garcia, Pulau Dikaitkan MH370

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pulau Diego Garcia di Lautan Hindi kembali menjadi tumpuan selepas dua peluru berpandu balistik Iran dilaporkan dipintas ketika menuju ke arah pangkalan tentera strategik itu.

Insiden semalam itu sekali lagi meletakkan pulau terpencil berkenaan di bawah perhatian global, bukan sahaja kerana kepentingan ketenteraannya, tetapi juga kaitannya dengan pelbagai dakwaan dan teori konspirasi yang berlarutan sejak bertahun-tahun.

Diego Garcia, yang menempatkan pangkalan bersama Amerika Syarikat dan United Kingdom, dikenali sebagai antara lokasi paling sulit di dunia dengan akses awam yang hampir mustahil, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai aktiviti sebenar di situ.

Serangan terbaharu itu dilihat lebih kepada isyarat keupayaan ketenteraan berbanding cubaan serius untuk memusnahkan pangkalan berkenaan, dengan kedua-dua peluru berpandu dilaporkan berjaya dipintas sebelum mencapai sasaran.

Dalam masa sama, insiden ini turut menghidupkan semula teori konspirasi lama yang mendakwa pesawat Malaysia Airlines MH370 mungkin pernah dibawa ke pulau tersebut selepas hilang secara misteri pada 2014.

Teori berkenaan mendapat perhatian selepas data satelit menunjukkan pesawat itu menyimpang daripada laluan asalnya dan menuju ke selatan ke Lautan Hindi.

Pihak berkuasa antarabangsa telah berulang kali menafikan teori itu dengan menegaskan tiada bukti kukuh mengaitkan kehilangan pesawat itu dengan Diego Garcia.