Langkah Proaktif Pastikan Bekalan Bahan Api Sabah Kekal Stabil

Langkah Proaktif Pastikan Bekalan Bahan Api Sabah Kekal Stabil

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bekalan bahan api di Sabah kekal mencukupi dan stabil melalui langkah proaktif serta pemantauan rapi, bagi mengelakkan gangguan yang boleh menjejaskan pengguna dan sektor ekonomi negeri.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, pada Selasa.

Menurut Armizan, kementeriannya sentiasa memperkukuh penyelarasan bersama agensi berkaitan bagi memastikan bekalan petrol dan diesel tidak terjejas, khususnya di kawasan luar bandar serta sektor kritikal.

Pemantauan berterusan akan diperkasa bagi mengelakkan sebarang risiko kehabisan stok (stock out) yang boleh memberi kesan kepada pengguna dan ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, Hajiji menegaskan kepentingan bekalan bahan api yang konsisten bagi menyokong aktiviti ekonomi Sabah, termasuk sektor logistik, perikanan dan pertanian yang bergantung kepada penggunaan diesel.

Dalam perkembangan sama, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang memberi taklimat mengenai kemajuan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah serta inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City).

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk James Ratib, Ahli SKMM, Jeneral (B) Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin serta pegawai kanan suruhanjaya itu.