KOTA KINABALU: KTC memperkukuh kepimpinan apabila melantik bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, sekali gus menandakan langkah strategik dalam memperkukuh tadbir urus serta hala tuju pertumbuhan jangka panjang kumpulan itu.
Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan tersebut dijangka meningkatkan keupayaan syarikat dalam memperkukuh strategi serta memperluas jaringan kerjasama dengan pihak berkepentingan di peringkat nasional.
Sebagai tokoh berpengalaman luas dalam pentadbiran negara, Mohd Zuki membawa kepakaran kepimpinan serta pemahaman mendalam terhadap keutamaan nasional yang dilihat mampu menyumbang kepada pengukuhan organisasi.
Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, pihaknya berbesar hati mengalu-alukan pelantikan tersebut.
“Pengalaman kepimpinan beliau serta kefahaman mendalam terhadap keutamaan nasional akan memberikan panduan yang amat bernilai dalam usaha kami memperkukuh tadbir urus serta membina organisasi yang berdaya tahan dan berpandangan jauh,” katanya.
Menurutnya, KTC kini giat mengembangkan operasi di peringkat nasional dan serantau dengan menjadikan Malaysia Timur sebagai hab pertumbuhan strategik, selain memperkukuh kerjasama dengan rakan industri bagi meningkatkan keterhubungan rantaian bekalan.
“Kami terus komited memacu inisiatif pengembangan dan pelaburan strategik di seluruh Malaysia serta rantau ini, di samping memperluas akses pasaran khususnya di Malaysia Timur,” katanya.
Mohd Zuki akan berkhidmat sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif, dengan peranan menyediakan panduan strategik serta kepimpinan kepada Lembaga selaras dengan keutamaan jangka panjang Kumpulan.
KTC dalam masa sama menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh asas pertumbuhan mampan serta meningkatkan kecekapan rantaian bekalan bagi menyokong perkembangan perniagaan di peringkat domestik dan serantau.






