Tiada Permit, Dilarang Isi Petrol, Diesel Dalam Tong – KPDN

Tiada Permit, Dilarang Isi Petrol, Diesel Dalam Tong – KPDN

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa pengisian petrol atau diesel ke dalam tong selain tangki asal kenderaan adalah dilarang sama sekali tanpa Permit Khas di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Penegasan itu dibuat susulan isu tular di media arus perdana dan media sosial berhubung aktiviti pengisian bahan api ke dalam tong baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penjualan bahan api di stesen minyak hanya dibenarkan kepada tangki asal kenderaan atau pihak yang memiliki Permit Khas yang sah.

“Di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, penjualan petrol dan diesel hanya dibenarkan kepada tangki asal kenderaan yang diluluskan atau kepada pihak yang memiliki Permit Khas daripada KPDN,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, mana-mana individu, syarikat atau organisasi yang ingin membeli bahan api untuk kegunaan selain tangki asal perlu memohon Permit Khas melalui Sistem Permit Bekalan secara dalam talian yang disediakan kementerian.

“Permit Khas ini adalah percuma dan terbuka kepada pihak yang berkelayakan melibatkan 10 kategori termasuk sektor pertanian, penternakan, industri makanan, pembinaan kecil serta penduduk di kawasan pendalaman dan pulau,” katanya.

Tambahnya, pembelian menggunakan Permit Khas hanya dibenarkan bagi kuantiti 20 liter ke atas dan tertakluk kepada harga pam semasa.

Dalam pada itu, pemegang Permit Khas dibenarkan menggunakan tong drum, plastik atau bekas yang selamat dan bersesuaian mengikut syarat yang telah diluluskan termasuk kuantiti, lokasi stesen minyak serta tempoh pembelian.

Armizan turut menegaskan bahawa tiada pihak lain dibenarkan membeli bahan api menggunakan tong di stesen minyak kecuali dalam keadaan kecemasan dengan kuantiti tidak melebihi 20 liter.

“KPDN memandang serius sebarang bentuk penyelewengan bahan api bersubsidi dan akan terus memperketat penguatkuasaan bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan yang layak,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.