PUTATAN: Lapan buah rumah dan sebuah kenderaan Perodua Kancil musnah dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Jalan Sekambu, Kampung Sekambu Petagas, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.01 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 16 kilometer dari balai.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Putatan, PPgB Musran Jabri berkata, seramai 41 anggota bomba bersama tujuh jentera dikerahkan bagi menjalankan operasi pemadaman.
Menurutnya, kebakaran melibatkan lapan buah rumah dengan pelbagai tahap kemusnahan selain sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil yang terbakar sepenuhnya.
“Daripada jumlah itu, lima buah rumah dilaporkan terbakar sepenuhnya, sebuah rumah terbakar kira-kira 80 peratus manakala dua lagi rumah masing-masing mengalami kerosakan lima dan 10 peratus.
“Sebuah kenderaan jenis Perodua Kancil turut musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan beberapa aliran hos sepanjang 200 hingga 400 kaki dengan sumber air diperoleh daripada jentera serta pili bomba berhampiran bagi mengawal dan memadam kebakaran.
Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.10 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.15 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi kejadian.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Turut membantu dalam operasi tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta agensi berkaitan bagi memastikan keadaan di lokasi kejadian selamat.






