Presiden Filipina Digesa Hidupkan Semula Tuntutan ke Atas Sabah

Presiden Filipina Digesa Hidupkan Semula Tuntutan ke Atas Sabah

0
SHARE

FILIPINA: Senator Robin Padilla menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, sebuah wilayah kaya dengan sumber minyak yang terletak di pulau Borneo.

Memetik laporan media tempatan Filipina, Politiko, Padilla turut mencadangkan agar jurucakap Philippine Coast Guard, Laksamana Muda Jay Tarriela, bersama pasukannya dihantar bagi menegaskan tuntutan tersebut.

“Presiden, sekarang adalah masa untuk menghidupkan semula tuntutan sah kita ke atas Sabah. Kita mesti bertindak dan menghantar wakil. Borneo Utara kini kaya dengan sumber minyak,” katanya.

“Tariella dan pasukannya harus menyalurkan semangat patriotik mereka ke pulau itu, sama ada ketika air surut atau pasang,” katanya lagi.

Sabah ketika ini berada di bawah pentadbiran Malaysia, namun dituntut oleh Filipina berdasarkan undang-undang serta perjanjian pajakan dengan Kesultanan Sulu.

Sebelum ini, Marcos turut mengisytiharkan negara itu berada dalam keadaan darurat tenaga berikutan kenaikan harga bahan api yang dipacu oleh konflik di Timur Tengah.

Beliau juga telah mengarahkan pelan besar-besaran bagi melindungi pekerjaan, bekalan makanan, mata pencarian, pengangkutan dan industri susulan krisis yang berpotensi mengganggu bekalan tenaga negara.