KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang mempertingkatkan langkah pemantauan dan kesiapsiagaan susulan cuaca panas yang berterusan, dengan memberi tumpuan kepada keselamatan pekerja luar, komuniti luar bandar serta golongan berisiko.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, seperti yang dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pihaknya memandang serius peningkatan kes berkaitan haba yang dilaporkan di seluruh negara.
“Di Sabah, ramai rakyat bekerja di luar seperti nelayan, petani dan pekerja ladang, maka risiko pendedahan kepada haba adalah lebih tinggi dan memerlukan perhatian khusus,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Julita menggesa sekolah, pusat jagaan kanak-kanak dan penjaga untuk mengambil langkah berjaga-jaga tambahan bagi melindungi kanak-kanak, di samping memberi perhatian kepada golongan berisiko lain seperti warga emas, wanita hamil dan individu yang menghidap penyakit kronik.
“Kerajaan negeri sedang memantau keadaan cuaca secara rapi dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan amaran dan tindakan dapat dilaksanakan dengan segera.
“Kemudahan kesihatan di peringkat daerah juga sentiasa dipantau bagi memastikan tahap kesiapsiagaan kekal mencukupi.
“Kami komited untuk memastikan kesihatan dan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara sepanjang tempoh cuaca panas ini,” katanya.






