KOTA KINABALU: Industri pelancongan Sabah mula merasai tekanan susulan kenaikan harga bahan api akibat konflik di Asia Barat, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin.
Beliau berkata pengusaha pelancongan di seluruh negeri kini berdepan peningkatan kos pengangkutan darat dan laut, sekali gus menjejaskan tempahan.
“Pengusaha kita memang terasa tekanan. Kita kini menunggu tindakan lanjut daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurutnya, satu mesyuarat intervensi melibatkan kepimpinan negara yang dipengerusikan Perdana Menteri dijangka diadakan bagi membincangkan langkah seterusnya.
Jafry berkata kementeriannya bersedia membentangkan data berkaitan, sambil menegaskan sektor pelancongan merupakan tulang belakang ekonomi Sabah.
“Kesan terhadap pengangkutan semakin ketara dan ini yang sedang kita hadapi di Sabah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pengusaha bot dan pengangkutan terpaksa memindahkan kenaikan kos kepada pengguna.
“Tempahan sudah mula terjejas dan situasi ini bukan sahaja berlaku di Sabah, tetapi di peringkat global,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pemain industri dan orang ramai supaya kekal tenang serta berbelanja secara berhemah, sambil berharap keadaan tidak berlarutan menjadi kejutan ekonomi seperti pandemik COVID-19.






