KENINGAU: Dua buah rumah dan sebuah surau musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Pagar-Pagar Sondoton, awal pagi tadi.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 12.53 pagi sebelum sepasukan 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK I Selverinus Sixtus Geofrey, digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai.
Menurut kenyataan BBP Keningau, setibanya di lokasi pada jam 1.00 pagi, kebakaran didapati melibatkan tiga struktur jenis tidak kekal iaitu dua rumah masing-masing berukuran 30×40 kaki dan 30×30 kaki serta sebuah surau berukuran 30×40 kaki yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan, dengan sumber air diperoleh daripada jentera, water tanker serta pili bomba berhampiran,” menurut kenyataan itu di Facebook hari ini.
Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak pada jam 1.44 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.00 pagi selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi punca api atau bahaya di lokasi.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
BBP Keningau turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa terlibat serta menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengamalkan langkah pencegahan kebakaran, termasuk tidak meninggalkan dapur tanpa pengawasan, memastikan peralatan elektrik ditutup selepas digunakan serta menyediakan alat pemadam api sebagai langkah keselamatan awal di rumah.






