KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) bagi memperkasa pembangunan serta meningkatkan prestasi bola sepak negeri.
Sumbangan itu disampaikan Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang dalam satu majlis ringkas di pejabat SAFA di sini.
Turut hadir Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag Raini serta Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.
Japlin berkata, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya dalam menyokong pembangunan bola sepak Sabah, khususnya dalam memperkukuh program pembangunan bakat dan meningkatkan prestasi pasukan negeri.
“CIS percaya bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Sokongan seperti ini wajar diteruskan demi masa depan sukan negeri,” katanya.
Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan tersebut yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan dalam usaha memperkasa arena bola sepak Sabah.
Beliau berkata, sumbangan itu turut mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini.






