KUALA LUMPUR: Pusat Latihan Professionals Rope Access Community (PRAC) Malaysia memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama Qingdao Hailiya Group Co., Ltd. dalam usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa khususnya dalam bidang latihan, pembangunan kompetensi serta perkongsian kepakaran industri.
Ketua Pegawai Operasi PRAC, Muhammad Izzat Izzuddin Zahari berkata, kerjasama itu menjadi langkah penting dalam memperluaskan peranan PRAC di peringkat antarabangsa.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan PRAC di pasaran China, malah membuka peluang lebih luas untuk kita mengembangkan operasi latihan ke peringkat global.
“Ia juga menjadi platform untuk membangunkan tenaga kerja mahir serta meningkatkan standard keselamatan bekerja di tempat tinggi selaras dengan keperluan industri semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memeterai MoU itu bersama Muhammad Zaim Ruba’ie yang mewakili PRAC Malaysia, manakala pihak Qingdao Hailiya Group Co., Ltd. diwakili oleh Huang, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, antara objektif utama MoU tersebut adalah memperkukuh kehadiran PRAC di China serta membolehkan pensijilan organisasi itu diiktiraf dan diguna pakai dalam industri negara berkenaan.
“Melalui kerjasama ini, kita dapat membina rangkaian latihan antarabangsa yang lebih berdaya saing di samping mengukuhkan hubungan dua hala melalui perkongsian teknologi dan kepakaran.
“Pada masa sama, ia turut menjadi jambatan kepada akses pasaran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri rope access,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, skop kerjasama melibatkan pelaksanaan program latihan pensijilan akses tali dan keselamatan bekerja di tempat tinggi selain kolaborasi dalam aspek peralatan serta penjenamaan.
“Kita juga merancang untuk menubuhkan pusat latihan di Qingdao, China sebagai langkah memperkukuh kehadiran PRAC di sana.
“Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi perkongsian teknologi serta membuka peluang penempatan industri kepada peserta latihan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa PRAC menyasarkan untuk terus berkembang ke peringkat Asia dan Timur Tengah pada masa hadapan.
“Kita berhasrat untuk menjadi peneraju utama dalam industri rope access dan keselamatan bekerja di tempat tinggi, di samping memastikan inovasi dalam latihan keselamatan terus diperkasakan,” katanya.
Professionals Rope Access Community (PRAC) merupakan badan latihan dan pensijilan profesional yang memberi fokus kepada latihan akses tali serta keselamatan bekerja di tempat tinggi sejak tahun 2010. Organisasi ini diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan turut memegang pensijilan antarabangsa seperti ISO17024 serta IAF. PRAC juga telah mengembangkan operasinya ke beberapa negara termasuk China, Brunei dan Oman.
Sementara itu, Qingdao Hailiya Group Co., Ltd. ialah syarikat berpangkalan di Qingdao, China yang terlibat dalam pembuatan dan pengedaran peralatan keselamatan industri. Syarikat tersebut mempunyai kepakaran dalam operasi penyelamatan serta rangkaian industri yang kukuh, selain memberi tumpuan kepada inovasi dan pematuhan standard keselamatan antarabangsa.






