FCAS Cadangkan Pendekatan PPV 24 Jam Untuk Tingkatkan Kadar Vaksinasi Di Sabah

FCAS Cadangkan Pendekatan PPV 24 Jam Untuk Tingkatkan Kadar Vaksinasi Di Sabah

0
SHARE
Tan Sri T.C Goh...

KOTA KINABALU, SABAH – Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Tan Sri TC Goh menyatakan kebimbangan dan kekeliruan tentang bagaimana Sabah merupakan negeri dengan jumlah harian kes positif COVID-19 yang ke empat tertinggi dalam negara tetapi kadar vaksinasinya masih yang terendah.

Oleh itu, dia meminta kerajaan persekutuan dan negeri untuk berusaha memperbaiki keadaan kritikal ini dengan secepat mungkin dan pada masa yang sama mengemukakan dua cadangan.

“Yang pertama adalah untuk meningkatkan bekalan vaksin oleh kerajaan persekutuan untuk Sabah selain mempermudahkan pembelian vaksin oleh pihak swasta untuk pekerja mereka…

“Dan setelah mendapat bekalan vaksin yang mencukupi, program vaksinasi ‘walk-in’ di seluruh negeri mampu dipertingkatkan dengan menyediakan perkhidmatan vaksinasi 24 jam yang amat diperlukan melihat keadaan COVID -19 yang semakin teruk,” katanya.

Goh yang juga anggota Majlis Penasihat Ekonomi Negeri (SEAC) menegaskan bahawa dalam masa-masa yang sangat mencabar ini, kerajaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) harus mengambil langkah-langkah “tidak konvensional”.

“Ini termasuk pendekatan perolehan vaksin 24 jam sehari, baik melalui temu janji atau ‘walk-in’ untuk mendorong lebih orang ramai divaksin…

“Pertama dan yang terpenting, kerajaan persekutuan mesti memberikan vaksin percuma yang mencukupi untuk Sabah.

“Di samping itu, kerajaan juga boleh membenarkan sektor swasta melakukan vaksinasi secara berbayar,” katanya dalam sebuah kenyataan kelmarin.

Menurutnya langkah ini juga bagi mendorong Kerajaan Negeri untuk membeli vaksin sendiri, menambah kepada vaksin yang diberikan kerajaan persekutuan dan meningkatkan dan mempercepat kadar vaksinasi di negara ini.

Mengenai prosedur operasi standard terbaru (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri berhubung hanya mereka yang telah menyelesaikan dua dos vaksin dibenarkan untuk ‘dine in’, Goh berpendapat bahawa langkah tersebut mungkin tidak menguntungkan pengusaha restoran.

Dia menjelaskan bahawa ini memandangkan fakta bahawa jumlah orang di Sabah yang telah menyelesaikan dua dos vaksin masih jauh dari memuaskan.

Dia menyebut bahawa, statistik rasmi menunjukkan pada hari Rabu, 1.18 juta individu atau 30.4 peratus penduduk Sabah telah menyelesaikan dos pertama vaksinasi, sementara mereka yang telah lengkap dua dos adalah 514,184 orang atau 13.2peratus dari jumlah penduduk.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kadar vaksinasi Sabah, sama ada dos pertama atau dua dos, masih rendah berbanding dengan negeri lain,” katanya.

Tapi Goh menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis yang mengatakan bahawa kerjaaan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan mendaftar diri untuk divaksin.

“Saat ini, masih ramai orang Malaysia dan bukan warganegara yang gagal mendaftar untuk divaksinasi…

“Sabah juga menghadapi masalah yang sama dan memerlukan perhatian dan penanganan segera oleh kerajaan persekutuan,” katanya.