Sabah Perlu Kilang Penapisan Minyak, Bukan Lagi Pilihan – G57

Sabah Perlu Kilang Penapisan Minyak, Bukan Lagi Pilihan – G57

0
SHARE
Zulkarnain
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar...

KOTA KINABALU: Sabah digesa mempercepatkan pembinaan kilang penapisan minyak bagi mengurangkan kebergantungan kepada Semenanjung serta memanfaatkan kedudukan sebagai antara penyumbang utama sumber tenaga negara.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, krisis tenaga global dan konflik di Timur Tengah membuktikan kelemahan kebergantungan kepada laluan strategik seperti Selat Hormuz.

“Gangguan di laluan ini memberi kesan langsung kepada kestabilan bekalan dan harga minyak global,” katanya.

Beliau berkata lebih 70 peratus pengeluaran minyak dan gas Malaysia datang dari Sabah dan Sarawak, namun kedua-dua wilayah masih tidak memiliki kemudahan penapisan sendiri, sekali gus menafikan nilai tambah ekonomi tempatan.

Katanya, Sabah sahaja menyumbang sekitar 40 peratus pengeluaran minyak negara, namun minyak mentah masih dihantar keluar untuk diproses di Semenanjung.

Zulkarnain turut menyokong cadangan menjadikan Labuan sebagai hab penapisan dan penyimpanan minyak serantau, yang dilihat mampu memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian tenaga Asia.

“Kenyataan Tan Sri Harris Mohd Salleh adalah tepat, berasas dan amat relevan dengan keadaan semasa,” katanya sambil merujuk sokongan turut diberikan oleh kepimpinan negeri.

Beliau berkata pembinaan kilang penapisan minyak di Sabah bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga dan keadilan ekonomi untuk negeri itu.