TLDM, KPDN Sabah Perkukuh Kerjasama Tangani Penyelewengan

TLDM, KPDN Sabah Perkukuh Kerjasama Tangani Penyelewengan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah bagi memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua agensi.

Pertemuan itu membincangkan pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI dalam usaha membantu meringankan kos sara hidup rakyat, selain cadangan operasi bersepadu bagi mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan di lapangan.

Kedua-dua pihak turut membincangkan penggunaan fasiliti TLDM pada masa akan datang bagi menyokong operasi logistik dan penguatkuasaan, khususnya dalam menangani isu penyelewengan barangan kawalan di negeri ini.

Kunjungan tersebut menjadi platform penyelarasan kerjasama, perkongsian maklumat serta usaha bersepadu membanteras ketirisan subsidi kerajaan dan memastikan kestabilan bekalan serta pasaran.

Antara yang hadir ialah Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin, serta Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan, Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, bersama pegawai kanan kedua-dua agensi.