ISLAMABAD: Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance berkata rundingan selama 21 jam dengan Iran berakhir tanpa persetujuan, meskipun Washington telah mengemukakan “cadangan terbaik terakhir”.
Memetik sumber AFP, beliau memaklumkan Iran masih diberi masa untuk mempertimbangkan tawaran itu, ketika AS sebelum ini bersetuju menangguhkan serangan bersama Israel selama dua minggu bagi memberi ruang rundingan.
Menurut Vance, pertikaian utama kekal isu senjata nuklear, dengan AS menuntut komitmen jelas jangka panjang bahawa Iran tidak akan membangunkan atau memperoleh keupayaan senjata tersebut.
“Kami belum melihat komitmen itu,” katanya, sambil menambah AS telah bertindak secara fleksibel dan berunding dengan niat baik, namun gagal mencapai kemajuan.
Vance turut menegaskan Presiden Donald Trump bersikap terbuka dalam rundingan, walaupun sebelum ini menyatakan tidak terlalu bergantung kepada hasil perjanjian, manakala isu pembukaan semula Selat Hormuz tidak disentuh secara terperinci dalam perbincangan.






