KOTA KINABALU: Seramai 17 warga asing ditahan dalam Ops Belanja dan Ops Sapu baru-baru ini yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah di sekitar bandar raya ini, dalam usaha berterusan membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam operasi berkenaan, seramai 31 individu telah diperiksa, dengan 17 daripadanya ditahan selepas didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
@Daripada jumlah tangkapan, seramai 12 individu merupakan warganegara Filipina yang terdiri daripada sembilan lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa.
@Sementara itu, lima lagi adalah warganegara Indonesia melibatkan dua lelaki dewasa dan tiga wanita dewasa,” jelas kenyataan itu di sini, hari ini.
Tambah JIM Sabah, operasi seumpama itu akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen serta memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.
Operasi bersepadu ini turut mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam memastikan pematuhan undang-undang serta mengekang aktiviti tidak sah yang melibatkan warga asing di negeri ini.






