ECoS Perkasa CSR, Salur Bantuan ke Pusat OKU dan Autisme di Kota...

ECoS Perkasa CSR, Salur Bantuan ke Pusat OKU dan Autisme di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) menerusi pelaksanaan Program Khidmat Budi dengan menyalurkan bantuan kepada Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan dan Pusat Autism Sabah (PAUS), pada Selasa.

Dalam program berkenaan, ECoS menyampaikan sumbangan berupa peralatan keperluan harian bagi menyokong kelancaran operasi pusat serta memudahkan aktiviti pembelajaran dan penjagaan kanak-kanak di kedua-dua institusi terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan agensi itu dalam menyumbang kepada kesejahteraan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan perhatian dan sokongan berterusan.

“ECoS bukan sahaja berperanan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga di Sabah, malah komited untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi keselesaan serta membantu tenaga pengajar dalam menjalankan sesi pembelajaran dan penjagaan dengan lebih efektif,” katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Raya bersama kanak-kanak dan para pendidik di pusat berkenaan.

Turut hadir, Anggota Suruhanjaya ECoS, Alijus Haji Sipil yang menyertai program tersebut sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan dan komuniti.

Sementara itu, Penguasa Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan, Mary Sipaji merakamkan penghargaan atas keprihatinan ECoS yang disifatkan memberi impak besar dalam mewujudkan persekitaran lebih selesa dan kondusif kepada kanak-kanak serta pendidik.

Program Khidmat Budi ECoS merupakan antara usaha berterusan agensi itu dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat di samping menyemai nilai keprihatinan sosial dalam kalangan warga kerjanya.