Tiga Penjawat Awam Direman Babit Kes Rasuah RM500,000 di Tawau

Tiga Penjawat Awam Direman Babit Kes Rasuah RM500,000 di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tiga penjawat awam, termasuk dua pegawai, sebuah agensi penguatkuasaan di Sabah kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 22 April 2026 terhadap kesemua suspek dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Tawau, pada pagi Rabu.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan antara jam 4 hingga 5 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Tawau.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024 dengan menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadi masing-masing.

“Mereka yang terdiri daripada dua pegawai dan seorang anggota penguat kuasa dipercayai menerima bayaran bulanan antara kira-kira RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.