KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Datuk Roger Chin menubuhkan sebuah pusat khidmat di Luyang bagi memberi tumpuan kepada isu bandar yang bersifat sistemik dan rentas daerah, bukan sebagai saluran aduan atau bantuan kebajikan.
Beliau berkata, peranannya tidak terikat kepada satu kawasan, sebaliknya meliputi isu yang melibatkan pelbagai agensi, bidang kuasa dan dasar yang sering berdepan ketidakselarasan serta pertindihan.
“Pusat ini bukan kaunter aduan atau pengganti pejabat kawasan, tetapi ruang untuk penglibatan berstruktur dan berasaskan bukti mengenai bagaimana undang-undang, dasar dan institusi berfungsi dalam amalan,” katanya.
Menurutnya, pusat tersebut bertujuan mengenal pasti kelemahan berulang, jurang pelaksanaan dan ketidakselarasan yang tidak dapat diselesaikan di peringkat daerah, seterusnya diterjemahkan kepada input perundangan, penjelasan dasar dan pembaharuan pentadbiran.
Beliau berkata, penglibatan dengan perniagaan dan profesional akan menumpukan kepada isu seperti ketidakkonsistenan pelaksanaan peraturan, keperluan bertindih antara agensi dan prosedur yang tidak lagi selari dengan realiti ekonomi bandar.
“Ini memerlukan penyelarasan dasar dan pentadbiran, bukan layanan khas atau pengecualian,” katanya.
Dalam kerjasama dengan NGO, beliau menekankan fokus kepada kepentingan awam seperti kesihatan, alam sekitar, kebolehpasaran pekerjaan dan akses perkhidmatan, khususnya apabila tanggungjawab melibatkan pelbagai pihak.
Sementara itu, katanya peruntukan Sentuhan akan digunakan secara terhad dan strategik sebagai pemangkin inisiatif seperti projek perintis, pengumpulan data dan penyelesaian jangka panjang.
“Sentuhan tidak bertujuan sebagai mekanisme kebajikan umum atau bantuan individu secara berterusan,” katanya.
Beliau menegaskan ukuran perkhidmatan bukan berdasarkan jumlah bantuan atau aduan, tetapi sejauh mana sistem menjadi lebih cekap, adil dan konsisten untuk rakyat.






