TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai mengugut ibu kandungnya dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan warga emas berusia lingkungan 80 tahun menegur anak lelakinya yang sering pulang lewat malam.
“Teguran tersebut menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak mengugut untuk membakar serta memukul mangsa dan menantunya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, bimbang terhadap keselamatan diri dan ahli keluarga, mangsa telah tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.
Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau dengan kerjasama Balai Polis Bombalai berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Jalan Perikanan, Kampung Sungai Imam.
“Suspek merupakan lelaki tempatan berusia 49 tahun. Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah ditahan dan dihukum di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan sebelum ini,” jelasnya.
Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.






