Masiung Tekankan Tadbir Urus, Hapuskan Budaya ‘Makan Gaji’ di Sedco

Masiung Tekankan Tadbir Urus, Hapuskan Budaya ‘Makan Gaji’ di Sedco

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah menekankan agar pegawai eksekutif agensi itu bekerja secara berpasukan dan mengamalkan sistem tadbir urus berprestasi tinggi.

Beliau mengingatkan pegawai, termasuk mereka yang mengetuai anak syarikat di bawah Sedco, supaya menghapuskan budaya kerja ‘sekadar makan gaji’ dan lebih proaktif dalam meningkatkan potensi pelaburan.

Wakil Rakyat Kuamut itu memulakan tugasnya pada pagi kelmarin, selepas menerima perlantikan daripada kerajaan negeri minggu lalu.

Beliau kemudian diberi taklimat oleh Pengurus Besar Kumpulan Sedco, Datuk Ar. James Wong Kien Peng, yang turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin, di pejabat perbadanan itu di Wisma Sedco.

Masiung menegaskan pegawai dan kakitangan Kumpulan Sedco harus melaksanakan kerja sebagai satu keluarga sambil menolak sikap ego dalam pentadbiran.

“Kita menetapkan sasaran agar Kumpulan Sedco menjadi pemacu utama ekonomi Sabah dalam laporan tahunan.

“Oleh itu, kita memerlukan pegawai profesional yang berprestasi tinggi. Setiap cadangan perlu dikaji secara mendalam sama ada boleh menjana keuntungan atau sebaliknya.

“Projek atau pelaburan tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa perancangan matang,” tegas beliau.

Menerusi pembaharuan pentadbiran yang dicadangkan, Sedco akan menghantar laporan prestasi kepada kerajaan negeri setiap tiga bulan.

Beliau juga menggesa pembuat dasar memastikan setiap rangka kerja yang dirancang berpaksikan keperluan rakyat sebelum dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah.