Miliki Haiwan Dilindungi, Pegawai Ladang Didenda RM48,000 di Sandakan

Miliki Haiwan Dilindungi, Pegawai Ladang Didenda RM48,000 di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang pegawai ladang didenda RM48,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki haiwan daripada spesies yang dilindungi, pada Khamis.

Tertuduh, Hendry Rayner Endim, 38, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki tiga bangkai ular sawa pendek (blood python), seekor ular sawa panjang (reticulated python), seekor bangkai musang (malay civet) serta dua bangkai musang (common palm civet), iaitu haiwan yang dilindungi di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 2.10 petang pada 24 Mei 2025 di jalan utama Paitan–Kanibongan tanpa sebarang kebenaran sah.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM48,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Jabatan Hidupan Liar, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.