KOTA KINABALU:Pembukaan ladang jagung seluas kira-kira 1,000 ekar secara komersial merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri bagi menstabilkan harga ayam dan telur di Sabah, kata Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, inisiatif dengan peruntukan RM25 juta itu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan negeri terhadap import makanan ternakan yang ketika ini mencecah sehingga 98 peratus.
“Langkah ini penting untuk memastikan bekalan makanan ternakan lebih stabil, sekali gus membantu mengawal kos pengeluaran dan menstabilkan harga ayam serta telur di pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis santai durian bersama pengamal media yang dihadiri kira-kira 45 wakil media di sini, hari ini.
Dalam usaha memperkukuh rantaian pemasaran, Jamawi berkata sebanyak 25 pusat pengumpulan hasil pertanian telah diaktifkan di setiap kawasan Parlimen.
Katanya, sebuah aplikasi digital juga akan dilancarkan tidak lama lagi bagi membantu mengenal pasti bekalan dan memudahkan pemasaran hasil pertanian melalui peranan Sabah Agriculture Marketing Authority (SAMA).
“Apabila berlaku lambakan, SAMA akan membeli hasil pertanian bagi mengelakkan kerugian kepada petani serta memastikan harga kekal stabil,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata program Jelajah Kebun Dapur akan diteruskan sempena Pesta Kaamatan bermula 1 Mei ini di Papar.
Melalui program itu, benih sayuran akan diagihkan secara percuma, manakala anak pokok buah-buahan, ternakan serta benih ikan ditawarkan pada harga diskaun sehingga 50 peratus.
Mengulas mengenai sekuriti makanan, Jamawi berkata Kerajaan Negeri menyasarkan peningkatan tahap sara diri (SSR) beras daripada 20 peratus kepada 40 peratus dalam tempoh lima tahun.
Katanya, usaha itu termasuk meningkatkan hasil padi sehektar serta mengaktifkan semula kira-kira 3,000 hektar sawah terbiar di beberapa daerah termasuk Kota Belud dan Kota Marudu.
“Dengan usaha bersepadu ini, kita yakin sektor agromakanan Sabah akan terus berkembang dan mampu menjamin sekuriti makanan negeri,” katanya.






