KOTA KINABALU: Semua agensi berkaitan telah digerakkan segera bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa kebakaran besar yang melibatkan kira-kira 1,000 rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan pagi tadi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian yang menjejaskan ratusan keluarga itu.
“Saya amat berdukacita menerima laporan kebakaran besar yang melibatkan ribuan buah rumah di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.
“Kerajaan Negeri telah menggerakkan semua agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan mangsa sentiasa terjamin disamping menyediakan bantuan segera agar mereka berada dalam keadaan selamat dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Menurut beliau, keutamaan ketika ini adalah memastikan kebajikan semua mangsa terus dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas.
“Keutamaan kita ketika ini adalah untuk memastikan kebajikan semua mangsa dijaga termasuk penyediaan tempat perlindungan sementara, makanan serta keperluan asas.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memastikan segala bentuk bantuan disalurkan dengan segera dan berkesan,” katanya.
Kebakaran yang berlaku di kawasan penempatan padat itu dilaporkan menyebabkan kemusnahan besar, sekali gus mengakibatkan ramai penduduk hilang tempat tinggal.






