PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik tiga pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat mampu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan tekanan kos susulan krisis tenaga global.
Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah tersebut melibatkan jaminan pembiayaan sebanyak RM5 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), kelonggaran pelaksanaan e-invois serta pengecualian cukai bersasar.
Menurutnya, inisiatif berkenaan amat tepat pada masanya bagi memastikan kelangsungan perniagaan selain melindungi peluang pekerjaan rakyat.
“Dalam tempoh mencabar ini, sokongan seperti ini penting untuk memastikan PMKS terus berdaya tahan dalam menghadapi peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, beliau memaklumkan kementerian turut mempergiat pelaksanaan inisiatif PowerUp10K dengan komitmen menyediakan pembiayaan sehingga RM15 bilion ke dalam pasaran.
Jelas beliau, inisiatif itu menyasarkan peningkatan skala sebanyak 10,000 syarikat PMKS sejajar dengan usaha memperkasa ekonomi rakyat.
“Usaha ini bukan sahaja membantu PMKS kekal bertahan, malah memberi ruang untuk mereka berkembang serta merebut peluang baharu dalam suasana ekonomi yang mencabar,” katanya.
Tambah beliau, KUSKOP akan terus memperkukuh pelaksanaan program melalui pendekatan ABCD iaitu Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai pemegang taruh termasuk pemain industri dan institusi kewangan bagi memastikan setiap bentuk sokongan dapat disampaikan secara cepat dan berkesan kepada usahawan.
“Kita mahu setiap inisiatif ini memberi impak langsung kepada PMKS di lapangan,” ujarnya.






