Pasukan MOSAR Bomba Terus Pantau Keselamatan di Sekitar Gunung Kinabalu

Pasukan MOSAR Bomba Terus Pantau Keselamatan di Sekitar Gunung Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasukan Mountain Search and Rescue (MOSAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah giat menjalankan pemantauan keselamatan di sekitar kawasan Gunung Kinabalu susulan kejadian gempa bumi yang dilaporkan hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, operasi pemantauan yang bermula sejak pagi melibatkan rondaan di laluan pendakian utama serta kawasan berisiko termasuk lokasi berbatu longgar dan berpotensi berlaku runtuhan kecil.

“Pasukan MOSAR telah menjalankan pemeriksaan laluan pendakian, pemantauan kawasan berisiko serta penilaian keselamatan pelancong dan malim gunung di sekitar Gunung Kinabalu.

“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada sebarang insiden dilaporkan, namun pemantauan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah.

Tambah kenyataan itu, komunikasi berterusan turut dijalinkan dengan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan semua pihak di kawasan berkenaan sentiasa berada pada tahap optimum.

Sehubungan itu, JBPM Sabah menasihatkan para pendaki dan orang awam agar sentiasa mematuhi arahan pasukan keselamatan serta menghentikan aktiviti pendakian sekiranya berlaku gegaran susulan.

Selain itu, orang ramai juga diminta menjauhi kawasan berbatu longgar atau cerun berisiko serta segera melaporkan sebarang kejadian kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan keselamatan di kawasan Gunung Kinabalu terus terjamin,” menurut kenyataan itu.