Sabah Rangkul Peluang Ekonomi Hijau, SCAC Perhebat Tadbir Urus Karbon

Sabah Rangkul Peluang Ekonomi Hijau, SCAC Perhebat Tadbir Urus Karbon

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mempergiat tadbir urus karbon dan memperkukuh tindakan perubahan iklim melalui Sabah Climate Change Action Council bagi merangkul peluang ekonomi hijau serta memastikan pembangunan mampan Sabah terus dipacu secara strategik dan menyeluruh.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun memaklumkan, sejak penubuhannya pada 2022, SCAC telah melaksanakan pelbagai inisiatif penting termasuk dua kajian rintis utama iaitu Penilaian Kerentanan Perubahan Iklim dan Laporan Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Sabah 2024.

Menurut beliau, laporan tersebut yang pertama di peringkat subnasional di Malaysia memberi gambaran menyeluruh mengenai pelepasan karbon merentasi sektor ekonomi, sekali gus mengesahkan Sabah sebagai negeri karbon negatif (net sink), satu kelebihan strategik dalam menarik pelaburan hijau.

“Dapatan ini menjadi asas penting dalam merangka dasar serta membuka ruang kepada Sabah untuk memanfaatkan peluang ekonomi rendah karbon,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Arthur Joseph Kurup (Sook – Barisan Nasional) pada Sidang Dewan Undangan Negeri ke-17 di sini, hari ini.

Susulan itu katanya, Enakmen Perubahan Iklim dan Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 telah diluluskan bagi memperkukuh kerangka perundangan serta memastikan pengurusan karbon dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.

“SCAC yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri berperanan menyelaras pelaksanaan projek mitigasi dan adaptasi, menjadi pusat rujukan dasar serta memudah cara kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan dalam mempercepat tindakan iklim,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan negeri sedang membangunkan pelan mitigasi dan adaptasi melalui kerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi memastikan pendekatan lebih bersepadu dan selaras dengan agenda nasional.

Usaha turut dipergiat bagi memperkukuh kapasiti agensi dalam pengumpulan data inventori GHG agar sejajar dengan pelaporan kepada United Nations Framework Convention on Climate Change serta komitmen Malaysia di bawah Perjanjian Paris.

Bagi memperkemas pelaksanaan enakmen, Kerajaan Negeri akan menubuhkan Pusat Pendaftaran dan Inventori Iklim Sabah (SaCRIC) yang akan bertanggungjawab menyelia penguatkuasaan serta mengawal selia aktiviti karbon di negeri ini.

“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh tadbir urus iklim, malah membuka peluang sosioekonomi baharu melalui pembangunan hijau dan mampan,” jelasnya.

Sehubungan itu, SCAC akan terus bertindak sebagai badan induk dalam merangka Dasar Perubahan Iklim Negeri yang mengambil kira keunikan ekologi dan landskap sosioekonomi Sabah, sekali gus memperkukuh daya tahan negeri dalam menghadapi cabaran perubahan iklim pada masa hadapan.