KKRM Peruntukkan RM17.95 Juta Untuk Selenggara dan Baiki Lampu Jalan Seluruh Sabah...

KKRM Peruntukkan RM17.95 Juta Untuk Selenggara dan Baiki Lampu Jalan Seluruh Sabah Tahun Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKRM) telah meningkatkan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan serta pembaikan lampu jalan di seluruh Sabah kepada RM17.95 juta pada tahun ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Limus Jury berkata, peningkatan itu menunjukkan komitmen berterusan bahawa kerajaan amat serius dalam menangani isu lampu jalan yang tidak berfungsi. 

“Kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus dengan keutamaan diberikan di kawasan berisiko kemalangan; lokasi gelap yang menjejaskan penglihatan pengguna; dan aduan awam yang telah diperiksa dan disahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Justin Wong Yung Bin (Sri Tanjong – Warisan) pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 di sini, hari ini.

ADUN Kuala Penyu itu turut memaklumkan bahawa lampu jalan di jalan Persekutuan merupakan aset milik Kerajaan Persekutuan dan penyelenggaraannya adalah dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Persekutuan.

Sehubungan itu katanya, isu penanggungan kos oleh Kerajaan Negeri adalah tidak berbangkit.

“Walau bagaimanapun, kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan yang lebih berkesan.

“Kementerian akan terus memohon peruntukan tambahan dari semasa ke semasa bagi memastikan keberkesanan tahap perkhidmatan demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.