Lelaki Parah, Tersepit Dalam Kemalangan Babit Tiga Kenderaan di Jalan Ranau-Telupid

Lelaki Parah, Tersepit Dalam Kemalangan Babit Tiga Kenderaan di Jalan Ranau-Telupid

0
SHARE

RANAU: Seorang lelaki berusia 51 tahun cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya melibatkan tiga kenderaan di Jalan Ranau–Telupid berhampiran Kampung Tanah Merah, di sini, pada petang Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah van, sebuah Toyota Veloz dan sebuah lori treler.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu dan segera tiba di lokasi pada jam 5.22 petang.

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan van dan operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas Rescue Tools (RTA).

“Pasukan kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Ranau menggunakan ambulans bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.