Enam Rumah, Enam Kenderaan Musnah Terbakar di Kg Apin-Apin

Enam Rumah, Enam Kenderaan Musnah Terbakar di Kg Apin-Apin

0
SHARE

KENINGAU: Enam buah rumah serta enam kenderaan musnah dalam satu kebakaran besar yang berlaku di Kampung Apin-Apin, di sini, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 7.06 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bergegas ke lokasi kejadian sejauh 18 kilometer dan tiba kira-kira 24 minit kemudian.

Kebakaran itu melibatkan lima rumah tidak kekal yang musnah sepenuhnya, sebuah lagi rumah tidak kekal turut terbakar 100 peratus, selain sebuah rumah separuh kekal yang terbakar 60 peratus serta sebuah kedai runcit yang mengalami kerosakan 50 peratus.

Turut terjejas ialah enam kenderaan iaitu dua kereta jenis Proton Wira dan Proton Persona serta empat motosikal yang kesemuanya terbakar sepenuhnya.

Ketua BBP Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi pemadaman diketuai PBK I Selverinus Sixtus Geoffrey bersama 10 anggota menggunakan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah water tanker dan sebuah unit EMRS.

“Setibanya pasukan di lokasi, kebakaran melibatkan beberapa struktur kediaman telah pun marak. Komander operasi segera menjalankan size-up dan melaksanakan pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan. Sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.02 pagi sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.10 tengah hari selepas kerja-kerja pemadaman bara api selesai dijalankan.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak berkuasa.