Bekalan Beras Import Mungkin Terjejas Hujung Tahun Ini, Rakyat Diajak Kembali Tanam...

Bekalan Beras Import Mungkin Terjejas Hujung Tahun Ini, Rakyat Diajak Kembali Tanam Padi

0
SHARE

TONGOD: Rakyat Sabah diingatkan supaya kembali kepada tujuan asal sambutan Pesta Kaamatan dengan menggiatkan penanaman padi sendiri susulan amaran kemungkinan bekalan beras import akan terjejas menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Kumpulan Sedco, Datuk Masiung Banah berkata, negara berdepan risiko krisis bekalan beras dalam tempoh enam bulan akan datang sekiranya rakyat terus bergantung sepenuhnya kepada import tanpa usaha meningkatkan pengeluaran sendiri.

“Pesta Kaamatan wajar menjadi pendekatan untuk rakyat kembali ke akar umbi bertani, menanam dan menghasilkan padi sendiri seperti dilakukan nenek moyang terdahulu supaya bekalan makanan keluarga tidak terputus,” katanya ketika merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Tongod di Dewan Tertutup Majlis Daerah Tongod, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan negara pengeksport beras akan menghentikan bekalan ke Malaysia sekiranya konflik di Asia Barat melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran terus meruncing, sekali gus menjejaskan rantaian bekalan makanan global.

Menurutnya, situasi itu diburukkan lagi apabila beberapa negara seperti India, Myanmar dan Vietnam telah mengehadkan eksport beras sejak 2025 selain mengenakan kenaikan cukai import sehingga 40 peratus, menyebabkan harga beras import meningkat ketara.

“Rakyat Sabah tidak boleh bergantung selamanya kepada bekalan import, lebih-lebih lagi negara seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja turut terkesan fenomena El Nino yang menjejaskan pengeluaran padi mereka,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menggesa rakyat memanfaatkan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan negeri untuk mengusahakan tanaman padi di tanah sendiri.

Katanya, agensi seperti Jabatan Pertanian, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) menyediakan subsidi bagi tanaman padi sawah dan padi bukit sebagai usaha mengurangkan kebergantungan kepada import.

Untuk rekod, Sabah ketika ini mengimport kira-kira 400,000 tan metrik beras setahun, berbanding pengeluaran tempatan sekitar 120,000 tan metrik sahaja.