KUANTAN: Kerajaan Negeri Sabah terus komited menjaga kebajikan mahasiswa Sabah di Semenanjung menerusi pelbagai inisiatif bantuan pendidikan termasuk biasiswa, dermasiswa serta subsidi tiket penerbangan.
Usaha tersebut diterjemahkan melalui Program Roadshow Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah bersama mahasiswa Sabah yang berlangsung di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang di sini pada Ahad.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata inisiatif turun padang ini bertujuan menyantuni pelajar Sabah selain mengenal pasti keperluan semasa mereka, khususnya dari segi bantuan kewangan pendidikan.
Menurutnya, masih terdapat pelajar yang layak namun belum menerima sebarang bantuan, justeru program sebegini menjadi platform penting untuk menyalurkan maklumat serta bantuan sewajarnya.
“Kerajaan negeri melalui pelbagai agensi seperti Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS), Yayasan Sabah, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah sentiasa berusaha memastikan tiada pelajar tercicir daripada menerima bantuan pendidikan,” katanya selepas ditemui media hari ini.

Selain bantuan individu, jelasnya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan khas kepada persatuan anak Sabah di universiti bagi memastikan aktiviti dan program pelajar dapat dilaksanakan sepanjang tahun.
Dalam pada itu, beliau berpesan agar mahasiswa Sabah sentiasa menjaga nama baik negeri serta memupuk hubungan harmoni bukan sahaja sesama mereka, malah dengan rakan-rakan dari negeri lain.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini telah memperkenalkan inisiatif Geraduan Rindu Sabah, iaitu subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah.
“Inisiatif ini menawarkan subsidi sebanyak RM600 setahun kepada pelajar Sabah di Semenanjung dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas dan Pesta Kaamatan.
“Bagi pelajar yang menuntut di Sabah pula, mereka turut menerima subsidi sebanyak RM300e setahun bagi tujuan sama,” jelasnya.
Tambah beliau, lebih 20,000 pelajar Sabah telah menerima manfaat daripada inisiatif tersebut termasuk pelajar institusi perguruan.
Program jelajah itu dijangka diteruskan ke beberapa negeri lain termasuk Johor dan Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke Sarawak dan Labuan, seterusnya ke luar negara seperti Mesir, Jordan dan Arab Saudi bagi menyantuni mahasiswa Sabah di perantauan.
“Usaha ini akan dilaksanakan setiap tahun sebagai komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan kebersamaan anak-anak Sabah walau di mana mereka berada,” katanya.






