KERAJAAN KOMITED MEMPERKASAKAN WANITA DI SABAH

KERAJAAN KOMITED MEMPERKASAKAN WANITA DI SABAH

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menekan peranti sebagai simbolik pelancaran Buku Pelan Induk Pembangunan Wanita Sabah sempena sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu, pada Jumaat...

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri komited untuk terus memperkasakan golongan wanita di negeri ini, melalui pelaksanaan pelbagai program pembangunan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Sejajar komitmen itu katanya, sejumlah RM5.81 juta diperuntukkan untuk Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) manakala RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) pada tahun ini, bagi pelaksanaan program pembangunan modal insan untuk kesejahteraan wanita di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Wanita Cemerlang kepada Puan Joanna Datuk Kitingan…

“Peruntukan yang besar untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan wanita membuktikan kerajaan amat menghargai peranan dan sumbangan wanita secara keseluruhannya…

“Bagi meningkatkan lagi pembangunan wanita di negeri ini, kerajaan negeri akan terus memberi penekanan yang penting kepada golongan wanita dalam Belanjawan 2023 negeri yang akan dibentangkan nanti,” katanya sempena majlis Sambutan Hari Wanita peringkat negeri Sabah di Magellan Sutera Resort, di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut berasa bangga dengan beberapa aktiviti dan projek yang telah serta sedang dilaksanakan oleh JHEWA dan MPWS bagi membangunkan wanita di negeri ini.

“Program dan projek secara kerjasama yang dilaksanakan bersama agensi awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memberi banyak manfaat kepada rakyat di negeri ini, khususnya golongan wanita.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Ibu Cemerlang kepada
Puan Raseni Binti Suparno…

“Kemajuan wanita adalah kemajuan untuk semua. Memberi keutamaan untuk wanita bukan pilihan, sebaliknya ia adalah keperluan.

“Sebagai sebuah kerajaan yang inklusif, memberi lebih banyak peluang kepada wanita adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu sebagai penggerak utama kemajuan negara, membangunkan institusi kekeluargaan, mengukuhkan budaya masyarakat penyayang serta memainkan peranan kearah pembangunan ummah disamping kaum lelaki,” katanya.

Hajiji berkata, pembangunan wanita merupakan salah satu agenda penting yang menjadi tumpuan kerajaan dalam konteks pembangunan negeri.

“Kita telah melihat kejayaan pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang khususnya di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan Anugerah Kepimpinan Wanita Luar Bandar kepada Puan Emily Binti Jeneble…

“Saya ingin tegaskan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita, bukan saja dari segi aspek sosial, politik dan ekonomi malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.

“Justeru, tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan lagi kerana wanita masih terbelenggu dengan isu yang biasa atau stereotaip. Ini termasuklah berkaitan kepimpinan, penglibatan sebagai pembuat keputusan, beban berganda bagi wanita berkerjaya untuk mengimbangi tuntutan kerja dan keluarga.

“Jurang gender yang masih ketara dalam bidang kepimpinan, politik dan pembuatan keputusan, merupakan satu kerugian kepada negara yang perlu kita tangani secara bersepadu dan menyeluruh. Ini kerana ramai wanita khususnya di Sabah yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi,” katanya.

Sejajar dengan tema sambutan iaitu `Kesaksamaan Bersama Untuk Kelestarian’, beliau berharap ia dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman seluruh lapisan masyarakat terhadap kepentingan mencapai kesaksamaan bersama.

Yang turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong; serta Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah merangkap Pengerusi Induk majlis sambutan, Datuk Dr.Hajjah Tarsiah Taman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah merangkap Penganjur Bersama majlis, Hajah Haslina Ismail.