KREATIF SABAH Platform Baharu, Himpun dan Perkukuh Ekosistem Industri Kreatif

KREATIF SABAH Platform Baharu, Himpun dan Perkukuh Ekosistem Industri Kreatif

0
SHARE

KOTA KINABALU: Industri kreatif Sabah melakar detik penting apabila Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) sah berdaftar di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, sekali gus menghimpunkan sembilan persatuan seni dan kreatif tempatan dalam satu platform bersepadu bagi memperkukuh ekosistem industri di negeri ini.

Gabungan tersebut merangkumi Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Persatuan Komposer Penulis Lirik Artis Nasyid Sabah (KOPAN), Kelab Orkestra Kinabalu Sabah (KOKiS), Persatuan Penggerak Kreatif dan Inovasi Sabah (SCREIMO), Persatuan Bakat Skrin Sabah (SST), Persatuan Bakat, Seni & Kreativiti Sabah (PBSKS), Persatuan Pencinta Taman Sabah (S3C) dan Persatuan Komuniti Seniman Jalanan Sabah (SBC).

Pengerusi Penaja KREATIF SABAH, Chester Pang berkata, penubuhan gabungan itu merupakan hasil perjuangan berterusan penggiat seni tempatan sejak lebih sedekad lalu.

“Penubuhan KREATIF SABAH amat bertepatan dengan masanya dan kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor atas keprihatinan mewujudkan portfolio seni kreatif di bawah Kementerian Kemajuan Sukan, Pembangunan Belia dan Ekonomi Kreatif Sabah yang diterajui oleh Nizam Abu Bakar Titingan,” katanya.

Menurut beliau, KREATIF SABAH bersedia menjadi rakan strategik kepada MYSPACE dalam memacu agenda ekonomi kreatif negeri, termasuk membantu merangka asas dan pelaksanaan dasar yang lebih tersusun serta memenuhi keperluan industri.

Tambahnya, Sabah masih belum mempunyai polisi kesenian dan kreatif yang jelas berbanding negeri lain di Malaysia, justeru penubuhan gabungan ini dilihat sebagai suara rasmi komuniti kreatif tempatan.

Dalam pada itu, KREATIF SABAH akan memperkukuh kolaborasi strategik bersama pelbagai pemegang taruh termasuk persatuan seni budaya, institusi kreatif serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan, selaras dengan kedudukan Sabah yang strategik dalam landskap kreatif serantau.

“Kami juga akan merangka satu memorandum bersama untuk diserahkan kepada kerajaan negeri dan agensi berkaitan sebagai rujukan dasar daripada komuniti industri,” jelasnya.

Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama KREATIF SABAH dijadualkan berlangsung pada 18 Julai 2026 dan penyertaan dibuka kepada semua persatuan kreatif di seluruh Sabah bagi memperkukuh suara serta hala tuju industri kreatif negeri.