KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick mengetuai delegasi Sabah dalam lawatan kerja dan misi perdagangan ke China bermula Selasa hingga 11 Mei depan bagi memperkukuh hubungan ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan strategik ke negeri ini.
Sepanjang lawatan itu, beliau dijadual menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Forum Pelaburan dan Perdagangan Dalian–Sabah yang menjadi platform penting dalam memperluas kerjasama perdagangan, industri dan pelaburan antara Sabah dengan China.
Menurut kenyataan, Ewon turut dijangka menyaksikan pemeteraian lima Memorandum Persefahaman (MoU) serta pertukaran dokumen Surat Niat melibatkan Sabah dan Dalian, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai sektor strategik.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan bersama pemegang taruh serta pemain industri yang terlibat dalam pemeteraian MoU berkenaan bagi membincangkan peluang kerjasama dan pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui.
Selain itu, Ewon akan mengetuai perbincangan rasmi antara delegasi Sabah dengan kerajaan perbandaran Dalian untuk memperkukuh hubungan ekonomi dua hala serta meneroka potensi pelaburan baharu yang memberi manfaat kepada pembangunan negeri.
Dalam rangka lawatan tersebut, beliau turut dijadual menghadiri sesi pertemuan industri anjuran Dalian Federation of Industry and Commerce bersama Malaysia–China Chamber of Commerce Sabah.
Ewon juga akan mengadakan kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia di Beijing selain mengadakan pertemuan dengan Malaysian Investment Development Authority bagi membincangkan peluang pelaburan strategik dan pengukuhan kerjasama ekonomi.
Turut menyertai delegasi itu ialah wakil daripada MINDET, Kementerian Pendidikan, Sains dan Inovasi Sabah, Sekretariat SMJ, Unit Perancang Ekonomi Negeri, SEDCO, JETAMA, Invest Sabah, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah serta Universiti Malaysia Sabah.






