Kes Pengubahan Wang Haram Jabatan Air Negeri Sabah Bakal Diputuskan 19 Mei...

Kes Pengubahan Wang Haram Jabatan Air Negeri Sabah Bakal Diputuskan 19 Mei Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu menetapkan 19 Mei ini sebagai tarikh keputusan bagi kes berprofil tinggi membabitkan bekas pegawai kanan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang berdepan pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram.

Memetik laporan Sabah Media, Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat menetapkan tarikh itu terhadap bekas Pengarah JANS, Ag Mohd Tahir Mohd Talib, isterinya Fauziah Piut serta bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng.

Ketiga-tiga tertuduh bakal mengetahui keputusan mahkamah sama ada dibebaskan atau disabitkan atas pertuduhan yang dihadapi.

Mahkamah sebelum ini mendengar hujahan penjelasan di akhir kes pembelaan, dengan hujahan Lim didengar pada Rabu manakala hujahan Ag Mohd Tahir dan Fauziah didengar sehari sebelumnya.

Kes berkenaan mula mendapat perhatian meluas pada 2016 selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaksanakan operasi besar-besaran yang menyaksikan rampasan wang tunai jutaan ringgit serta pelbagai barangan berharga di Sabah.

Ag Mohd Tahir, Fauziah dan Lim didakwa pada 29 Disember 2016 dan kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Ag Mohd Tahir berdepan 11 pertuduhan, manakala Fauziah menghadapi 19 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Fauziah turut menghadapi dua pertuduhan bersama Ag Mohd Tahir di bawah seksyen sama, manakala Ag Mohd Tahir turut berdepan satu lagi pertuduhan tambahan mengikut Seksyen 4(1)(a) akta berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, Ag Mohd Tahir dan Fauziah didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi termasuk pejabat JANS di Kota Kinabalu, sebuah rumah di Sembulan, beberapa cawangan bank, sebuah kondominium, di Sulaman serta sebuah menara di Kuala Lumpur antara 4 Oktober hingga 4 November 2016.

Lim pula didakwa melakukan kesalahan di pejabat SPRM Jalan UMS dan sebuah rumah di Kota Kinabalu antara 13 Oktober hingga 8 November 2016.

Perbicaraan kes bermula pada 7 Mei 2018 dan berlarutan susulan beberapa permohonan interlokutori selain pandemik COVID-19.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 16 Mei 2024 selepas memanggil lebih 40 saksi sebelum mahkamah pada 4 Disember 2024 memerintahkan ketiga-tiga tertuduh membela diri.

Pihak pembelaan kemudian memanggil 15 saksi termasuk beberapa individu dicadangkan pihak pendakwaan antaranya bekas Ketua Menteri Sabah, Joseph Pairin Kitingan dan bekas menteri, Raymond Tan Shu Kiah.

Ag Mohd Tahir mula membela diri pada 30 April 2025, manakala Fauziah memberi kenyataan tidak bersumpah pada 26 September 2025 dan Lim mengemukakan keterangan pembelaannya pada 22 Oktober 2025.

Ag Mohd Tahir dan Fauziah diwakili peguam Datuk Ansari Abdullah, Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon, Fadzidahtul Ardianah, Rasrina Patrick T. Rining dan Noorsyazwani Sapri, sementara Lim diwakili Datuk Tan Hock Chuan, Baldev Singh dan Kelvin Wong.

Pendakwaan pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, Haresh Prakash Somiah dan Zander Lim.