KUALA LUMPUR: Penyanyi latar popular India, Jubin Nautiyal kembali ke Malaysia selepas empat tahun dan kehadirannya kali ini bukan sekadar untuk mengadakan konsert, sebaliknya turut meluahkan minat yang semakin mendalam terhadap landskap muzik serta budaya tempatan.
Jubin yang bakal membuat penampilan keduanya di Malaysia menerusi konsert di Mega Star Arena KL, Sungei Wang Plaza esok berkata, beliau baru-baru ini diperkenalkan dengan muzik rakyat Malaysia dan berhasrat untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.
“Saya baru sahaja diperkenalkan kepada satu atau dua lagu rakyat dari Malaysia dan saya mahu mengenali muzik itu dengan lebih jauh,” katanya pada sidang media di ibu negara.

Menurutnya, pada kunjungan pertama sebelum ini, beliau lebih memberi tumpuan kepada persembahan, namun kali ini mahu berhubung dengan suasana budaya tempatan secara lebih dekat.
Katanya, kepelbagaian masyarakat di Malaysia, khususnya penghargaan tinggi terhadap muzik India, menjadikan negara ini sebagai destinasi penonton yang unik.
“Saya rasa kepelbagaian di sini sangat unik dan jenis muzik yang dinikmati masyarakat juga di luar jangkaan saya,” katanya.
Dikenali menerusi lagu-lagu seperti Tum Hi Aana, Lut Gaye dan Raataan Lambiyan, Jubin telah meraih jutaan penstriman di seluruh dunia selain membina kelompok peminat yang kukuh menerusi vokal penuh emosi serta runut bunyi romantik dalam pelbagai filem Bollywood.
Mengulas mengenai konsert yang dijadual berlangsung antara dua setengah hingga tiga jam malam esok, beliau menjanjikan persembahan membabitkan sehingga 70 lagu termasuk medley serta sesi nyanyian bersama penonton.
Dalam perkembangan sama, Jubin turut berkongsi bahawa beliau baru-baru ini menjalani rakaman bersama komposer legenda India, A. R. Rahman.
Katanya, kolaborasi tersebut disifatkan sebagai antara detik penting dalam perjalanan kerjayanya.






