KOTA KINABALU: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di atas bumbung sebuah restoran di kawasan Sepanggar Seafood Village Restaurant, Karambunai, di sini, pada petang, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.16 petang itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 33 kilometer dari balai.
Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi pada jam 2.50 petang.
“Komander operasi melaporkan terdapat seorang mangsa lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika berada di atas bumbung bangunan restoran berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian bertindak menurunkan mangsa menggunakan pengusung sebelum pegawai perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan kerjasama KKM dan PDRM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.06 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.






