Pelaksanaan Akta 860 Cetus Kekeliruan Bidang Kuasa, KPPIS Gesa Perlindungan Pegawai Imigresen...

Pelaksanaan Akta 860 Cetus Kekeliruan Bidang Kuasa, KPPIS Gesa Perlindungan Pegawai Imigresen Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) menyuarakan kebimbangan terhadap pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) atau AKPS yang didakwa boleh menghakis hak autonomi imigresen Sabah serta mencetuskan pertindihan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.

Presiden KPPIS, Azizah S Ahmad berkata, kebimbangan itu timbul susulan beberapa perdebatan berkaitan kedudukan hak autonomi imigresen Sabah yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan serta Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, pelaksanaan AKPS dilihat mewujudkan kecelaruan operasi dan pertindihan kuasa yang memberi kesan langsung kepada pegawai imigresen yang bertugas di pintu masuk utama Sabah.

Dari sudut pandang kesatuan, kewujudan akta yang mempunyai bidang kuasa luas dan bersifat pukal ini menyebabkan pegawai di lapangan tersepit antara pematuhan kepada dasar baharu Persekutuan dan pemeliharaan kuasa mutlak perundangan imigresen di bawah seliaan pihak berkuasa negeri.

“Situasi ini meletakkan pegawai dalam risiko ketidaktentuan garis panduan operasi (SOP) dan keselamatan perundangan ketika menjalankan tugas penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi menangani isu itu secara profesional, KPPIS telah mengadakan dua pertemuan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 27 April dan 3 Mei lalu.

Katanya, kerajaan negeri dalam pertemuan itu menzahirkan pendirian tegas menolak pelaksanaan AKPS di Sabah demi mempertahankan kedaulatan autonomi negeri.

Selain itu, KPPIS turut mengadakan pertemuan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud pada 4 Mei lalu bagi mengemukakan representasi rasmi berkaitan penelitian semula aspek tatacara perjawatan dan perlindungan keselamatan anggota di bawah seliaan kementerian.

Azizah menegaskan tindakan kesatuan itu bukan bertujuan menentang pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), sebaliknya sebagai tanggungjawab kesatuan dalam menjaga kebajikan dan perlindungan anggota di lapangan.

“Perjuangan KPPIS berlandaskan Perlembagaan dan melibatkan soal dasar serta penggubalan akta yang memerlukan penjajaran semula dengan hak MA63.

“Kesatuan mengambil tanggungjawab membawa suara warga kerja JIM Sabah khususnya yang bertugas di pintu masuk untuk dikemukakan terus kepada pembuat dasar di peringkat negeri dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan anggota JIM di pintu masuk kini berdepan kekeliruan bidang kuasa atau ultra vires susulan transisi pelaksanaan Akta 860.

Katanya, fokus utama kesatuan adalah memastikan setiap pegawai dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang jelas, teratur dan dilindungi undang-undang tanpa sebarang prejudis, selain menuntut penyelesaian segera terhadap kelompongan akta demi kelancaran penyampaian perkhidmatan serta pemeliharaan autonomi Sabah.