KOTA KINABALU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun maut lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.05 petang ketika mangsa, Akil Hamizan Ahmad bersama sembilan rakannya pergi ke sungai untuk mencari ikan.
“Mangsa bersama seorang rakan dipercayai tersasar sebelum dihanyutkan arus. Rakan-rakan lain segera mendapatkan bantuan,” katanya.
Mangsa ditemukan pada jam 4.17 petang dan diberi CPR sebelum dihantar ke Hospital Likas, namun disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memastikan pengawasan terhadap kanak-kanak di kawasan sungai.
Siasatan lanjut masih dijalankan.






