Rakyat Diseru Tidak Terpedaya Naratif Pembangkang Isu 40 Peratus

Rakyat Diseru Tidak Terpedaya Naratif Pembangkang Isu 40 Peratus

0
SHARE

KIULU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan dakwaan pembangkang bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal memperjuangkan hak 40 peratus Sabah.

Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited dan sedang berusaha mendapatkan hak tersebut melalui pendekatan rundingan serta kerjasama baik dengan Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, pendekatan itu telah menunjukkan hasil positif, termasuk peningkatan Geran Khas daripada RM53 juta kepada RM600 juta di bawah pentadbiran GRS.

“Kerajaan GRS kekal tegas dan tidak akan berundur dalam usaha mendapatkan hak 40 peratus hasil negeri, di samping terus menuntut geran khas lebih tinggi serta kerjasama strategik dengan Putrajaya,” katanya.

Joniston turut menjelaskan bahawa Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas telah menjana pulangan berbilion ringgit kepada Sabah.

Dalam pada itu, beliau menggesa ketua kampung dan JKKK memainkan peranan menjelaskan dasar kerajaan di peringkat akar umbi bagi menangkis naratif pembangkang.

Beliau juga mengumumkan penubuhan panel bebas untuk menilai prestasi ketua kampung di Kiulu, termasuk menerima aduan, dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal menjalankan tugas.